Pasir Durian, Jerantut- Program motivasi untuk murid-murid tahun 6 telah berjaya dijalankan oleh pelajar-pelajar UIAM yang bernaung di bawah kelab Sendi. Program ini merupakan program yang pertama kali diadakan di kawasan Jerantut, Pahang diketuai oleh saudari Noor Iliana Mohd Salimi, pelajar tahun 3 jurusan Kejuruteraan,
Kelihatan murid-murid SK Pasir Durian seronok berprogram bersama fasilitator-fasilitator daripada UIAM
Menurut beliau, program jemputan ini merupakan program yang datang dengan tiba-tiba. Walaupun sedar akan risiko persiapan yang tidak sempurna, beliau berjaya juga meyakinkan mentor-mentor daripada Kelab Sendi untuk bersama dengan murid-murid di SK Pasir Durian.
"Memang pada awalnya, saya sendiri tidak pasti adakah program ini akan berjaya atau tidak. Tetapi selepas berhubung dengan pihak sekolah, ya, mereka bersungguh-sungguh mahukan sesuatu daripada kita. Maka saya bersetuju untuk membantu adik-adik di sana," jelas beliau dengan bersungguh-sungguh.
Lain halnya dengan saudara Abdul Halim Al Azmi, salah seorang daripada mentor yang terlibat. Beliau turut melahirkan rasa bangga dan terharu dengan penerimaan pihak sekolah serta adik-adik tahun 6 di sekolah tersebut. Beliau sendiri kagum dengan semangat adik-adik di sana yang rata-ratanya datang daripada keluaraga yang susah.
"Apabila mereka beritahu saya yang mereka datang ke sekolah dengan menaiki bot, hati saya terusik. Lagi saya sedih apabila mereka memberitahu, inilah program motivasi yang pertama kali diadakan. Siapa yang tidak terharu apabila anak-anak penoreh getah menunjukkan semangat mereka untuk belajar walaupun sedar hidup mereka susah?" jelas beliau.
Program ini bermula pada hari sabtu iaitu 31 Julai dan berakhir pada 1 Ogos. Program yang singkat namun berjaya menaikkan semangat murid-murid tahun 6 SK Pasir Durian. Ini juga diakui sendiri oleh bekas pelajar UIAM yang sekarang ini bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah berkenaan.
ADIK-ADIK HARAPAN...... Keseronokan di dalam pembelajaran menjadi nadi utama program ini
"Memang kita sentiasa menantikan saat-saat macam ini. Saya sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pelajar-pelajar UIAM yang sanggup datang jauh semata-mata ingin membuat program Motivasi secara percuma kepada adik-adik di sini. Pada asalnya saya memang tahu di UIAM memang terdapat banyak kelab yang membuat kerja-kerja sebegini, kerana saya sebelum ni pun terlibat dengan aktiviti yang sama namun di kelab yang berbeza," Jelas Cikgu Diana lagi dengan terseyum puas setelah melihat semangat anak didiknya berkobar-kobar setelah dimotivasikan oleh barisan pelajar-pelajar UIAM.
Menurutnya lagi, oleh kerana faktor kewangan yang tidak mencukupi mereka sendiri tidak mampu untuk menyelenggarakan program motivasi seperti ini. Mereka juga berharap agar pelajar UIAM dapat meneruskan lagi program seperti ini di sekolah mereka.
Program Motivasi Tahun 6 ini akhir ditutup oleh YDP PIBG SK Pasir Durian. Di dalam ucapan beliau, beliau berharap agar pelajar UIAM dapat membuat program seperti ini di masa-masa yang lain.
"Demi pembangunan sahsiah murid-murid, saya sendiri sangat menggalakkan agar program ini berterusan. Lebih-lebih lagi kami ini di pedalaman, susah daripada segala kemudahan, jadi saya mewakili semua cikgu di sini berharap agar pelajar-pelajar UIAM dapat meneruskan program seperti ini di lain masa," tambah beliau lagi.
Post a Comment