![]() |
AHLI Kelab Perkim dari UIAM, UiTM dan KIPSAS bergambar bersama masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Bangkong, Jerantut, baru-baru ini. |
JERANTUT 15 Jan. - Para penuntut institusi pengajian tinggi awam
(IPTA) yang menjalankan program kemasyarakatan di perkampungan Orang
Asli perlu membuat penyelidikan secara keseluruhan mengenai sikap
golongan itu supaya mereka tidak ketinggalan daripada pembangunan arus
perdana.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri
Ismail berkata, tahap pencapaian masyarakat itu agak ketinggalan
biarpun kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti rumah,
projek ekonomi dan sebagainya.
"Mahasiswa yang mengikuti program kemasyarakatan bersama komuniti
Orang Asli perlu menyelami hati dan pemikiran mereka terhadap
pembangunan disediakan kerajaan.
"Mereka boleh mendekati masyarakat itu melalui pelbagai kaedah untuk
melihat dan membuat kajian secara terperinci mengenai sikap serta budaya
penduduk di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Program Kembara Dakwah anjuran
bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Pahang dan Jerantut
serta Kelab Perkim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pahang
di Kampung Orang Asli Sungai Bangkong, dekat sini kelmarin.
Yang turut hadir Pengerusi Perkim Jerantut, Datuk Rahimah Mohd. Kawi
dan Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Jerantut, Amiruddin
Adnan.
Seramai 46 penuntut Perkim UIAM, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Jengka dan Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kipsas)
menyertai program dua hari itu.
Ahmad Shukri berkata, masyarakat Orang Asli mempunyai pelbagai etnik
serta tingkah laku sukar diramal menyebabkan segelintir mereka tidak
dapat menerima pembaharuan yang telah dilakukan kerajaan.
"Apa yang kita perhatikan ada Orang Asli yang mudah menerima
pembaharuan serta pembangunan disediakan kerajaan dan mereka dilihat
lebih maju selain semakin berdaya saing, manakala ada juga yang masih
ditakuk lama," ujarnya.
Post a Comment