Home » , » CENSERVE Mohon Maaf Atas Kesulitan ke Putrajaya

CENSERVE Mohon Maaf Atas Kesulitan ke Putrajaya

Written By JPY on Sunday, March 17, 2013 | Sunday, March 17, 2013

Alhamdulillah, walaupun semuanya letih dengan program kerajaan (1Million Women Purple Walk) ini namun dari pihak CENSERVE yang bersama-sama mengkoordinasi percaturan kenderaan untuk pelajar UIAM serta SUKSIS ingin memohon maaf di atas sebarang kesulitan pergi dan pulang. Kesulitan ini seperti yang dihadapi oleh para mahasiswa kita bermula sejak pagi lagi. Bas yang sepatutnya sedia membawa kesemua sukarelawan kita ke Putrajaya seharusnya berkumpul di tangga besar pada pukul 5.00 pagi lagi.Hanya bas UIAM sahaja yang ada, kelibat bas daripada Kementerian Pengajian Tinggi langsung tidak menampakkan diri.

Setelah dihubungi oleh CENSERVE, bas yang ditempah oleh KPT masih belum sampai, dan jawapan klise daripada mana-mana pemandu yang sudah kelewatan pula yang kami terima, "bas kami dah On the way...". 2 buah bas UIAM sudah tersedia, maka separuh sukarelawan CENSERVE bergerak terlebih dahulu, manakala sebuah lagi berjaya membawa separuh lagi pelajar-pelajar SUKSIS UIAM. Sesudah subuh, tiba-tiba datang 2 buah bas sekolah yang berkemungkinan datangnya daripada KPT. Arahan yang berbeza daripada ketua syarikat dengan maklumat yang kita dapati daripada KPT membuatkan pihak urusetia serba salah sama ada ingin menunggu lagi atau menggunakan sahaja bas berkenaan kerana menyedari Rakan Muda sepatutnya menaiki bas pada pukul 7 pagi.

Oleh kerana mendapat maklumat bahawa Rakan Muda sudah menukar waktu bergerak ke pukul 8 pagi dek pemandu bas mereka yang mahukan bergerak pada waktu berkenaan, maka kami terus menggunakan kedua buah bas sekolah berkenaan kerana yakin Rakan Muda pasti menggunakan bas yang berbeza. Makanya SUKSIS UIAM dan separuh lagi mahasiswa yang dibawa oleh CENSERVE berjaya juga bertolak ke Putrajaya walaupun agak lewat. 

Namun apa yang penulis bimbang seakan-akan terjadi. Siapa yang akan menjaga pelajar-pelajar kita di sana? Adakah cukup kakitangan yang tersedia ada? Adakah para mahasiswa kita pandai menjaga diri dan faham untuk mengambil nombor telefon pemandu bas masing-masing atau melantik ketua kumpulan dalam bas berkenaan? Penulis akui mungkin CENSERVE ada sedikit kekurangan dalam mengkoordinasi para pelajar kita yang ramai. Bahkan ianya memang sukar setelah sesampai di Putrajaya kerana tidak bertolak pada waktu yang sama di samping di sana sudah ada ribuan pelajar dan penduduk persekitaran yang menyertai program ini.

Namun, semua orang boleh ambil pengajaran dalam hal ini. Para kakitangan/urusetia program harus bertanggungjawab setelah menjanjikan macam-macam untuk menarik minat mahasiswa menyertai sebarang program. Para urusetia juga tidak boleh memandang mudah kerana pelajar yang menyertai program ini bergerak dibawah tanggungjawab universiti bukan pihak penganjur semata-semata. Oleh kerana itu, CENSERVE dengan nada rendah diri ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh para peserta program kali ini. Kami akan belajar dari kesilapan ini agar tidak akan berlaku pada masa akan datang.

(Hakikatnya para kakitangan CENSERVE sudah bimbang dengan ketiadaan bas sokongan daripada KPT seperti yang telah dijanjikan. Buktinya seminggu sebelum lagi sudah beberapa kali kita bertanyakan perihal bas ini. Namun begitu kita berjaya juga sampai walaupun pelbagai kesalah fahaman berlaku. Insyaa Allah, dari pihak CENSERVE, kami akan sedaya upaya untuk merekodkan kredit kokurikulum para peserta dalam 'star point' UIAM)


Share this article :

Post a Comment