Home » » Fadzly: Akhi Kelab Hebat

Fadzly: Akhi Kelab Hebat

Written By JPY on Monday, March 04, 2013 | Monday, March 04, 2013


http://iium.edu.my/sites/default/files/users/48/images/fazli.jpg

 Assalamualaikum w.r.  Terlebih dahulu saya merafakkan syukur ke Hadrat Allah yang menjadikan masa saya sehingga saya dapat mencuri sedikit masa itu untuk menulis di blog yang ceria ini.  Allah jualah yang memberi saya peluang untuk mengemudi sebuah kelab 'humble' bernama AKHI Club semenjak Jun 2012 hinggalah kini. Menjadi kepala dalam satu kelab yang memiliki profil dan impresi yang baik dari warga UIA dan warga SKSI serta SKBBS bukanlah sesuatu yang mudah.  Buktinya pada penggal pertama saya memegang tampuk pengurusan kelab, tidak banyak yang kita dapat lakukan. Pada hemat saya kita belum lagi bersedia untuk mencapai apa yang menjadi misi kelab kita, menjadi kelab mentoring Islamik yang agresif lagi efektif.  Namun saya percaya kelab 'biasa' ini mampu mengorak langkah menjadi kelab yang luar biasa.

AKHIan yang saya sayangi,
Tiada kata yang boleh mengungkap kebahagian saya apabila melihat trainers bersungguh-sungguh menambah "added value" dalam diri mereka ketika TOT yang lepas. Hanya Allah yang tahu saya tidak boleh berhenti tersenyum tatkala melihat trainers bertungkus-lumus mempromosi AKHI ketika humanitarian expo yang lepas.  Ada yang berucap di khalayak, ada yang bersenam hok aloh, ada yang persis agen insurans, ada yang meminta izin pensyarah untuk mempromosi AKHI di dalam kelas. Setiap warga iium dianggap seperti pelanggan yang ada potensi untuk memberi pulangan.  Jumlah pendaftaran ahli baru melebihi 400 orang adalah pencapaian terbaik kita.  Gembiranya saya melihat 127 ahli baru hadir ke mass gathering, suatu keajaiban buat kami, kerana ia tidak pernah berlaku dalam AKHI.

http://2.bp.blogspot.com/-c_IllSuRy0k/USsgajDeKDI/AAAAAAAABN0/ZicQNoF2aRY/s1600/Everyone__s_gonna_hurt_you__by_shutteredhopes.jpg

AKHIan yang saya kasihi,
Kuantiti tanpa kualiti adalah seperti padi angin, tiada isi dan tiada potensi. Kita perlukan seorang mentor yang memiliki kualiti 10 orang. Kita tidak perlu 10 mentor yang kualitinya hanya seperti seorang.  Saban hari saya berdoa agar Allah kurniakan saya mentor yang berakhlak dan bertaqwa, lembut hatinya menerima nasihat serta lunak lidahnya apabila berhujjah. Kualiti ini perlu untuk mengikat hati ita tidak mahu lagi mentor bermain SMS di hadapan mentee, kita tidak mahu lagi mentor menjadi "free observer" ketika mentoring. Kita percaya mentee perlukan perhatian, penghormatan dan penghargaan dari mentor.

AKHIan yang sentiasa di hati,
Atas matlamat itu, kita tidak ragu untuk merekrut mentor yang sanggup memberi komitmen.  Kita tidak teragak-agak untuk mencabut 'title' mentor dari mereka yang acuh tidak acuh.  Wahai kalian yang berada di bawah tanggungjawab saya, ingatlah tugas ini bukan tugas mengisi masa lapang, tugas ini bukan sekadar melepaskan batok di tangga.  Bahkan tugas inilah yang akan disoal Allah di hari akhir nanti.

Antara pesanan saya untuk warkah kali ini:

  1. Sebarkan kasih dan sayang kepada makhluk.
  2. Berilah sesuatu seperti sesuatu yang kita mahu.
  3. Sekali melangkah jangan berpaling arah.
  4. Environment is everything that was not you, learn from them.
  5. Berakhlaklah dengan akhlak Rasulullah s.a.w.
  6. Sesuatu itu belum menjadi milik kita sehinggalah kita melepaskan ia kepada orang lain sepenuh hati kita.
  7. Tiada sedih buat mereka yang sabar. Tiada penat buat mereka yang ikhlas. Tiada duka buat mereka yang bertawakkal.
  8. Jalan ini adalah jalan berliku lagi berduri.  Kita memberi bunga-bunga Islam, tetapi tak semestinya kita akan dibalas dengan bunga juga.  Bersabarlah. Mungkin berkurang masa untuk kawan-kawan, mungkin berkurang masa untuk berhibur tetapi jangan dikurangkan masa untuk menuntut ilmu.
  9. Kadang-kala 'roomate' tak akan faham kenapa kita sibuk, 'classmate' pun tak tahu apa kerja kita, 'groupmate' hanya mahu bahagian 'assignment' kita siap, pensyarah pula hanya mahu tugasan dihantar tepat pada waktunya, jalinkan ukhuwah yang padu dengan rakan AKHI yang lain, kerana mereka sahaja yang akan memahami kita.  Rapatkan hubungan dengan keluarga, kerana hanya mereka yang sudi mendengar.  Sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah.
  10. Berniatlah dengan niat yang baik. "Sahaja aku menyertai AKHI Club demi melalui jalan dakwah yang berliku, semata-mata kerana Allah".  Mudah-mudahan setiap saat dan detik menjadi saksi amalan kita.
Mudah-mudahan saya dan kalian mendapat manfaat dari kerja dakwah ini. Perbanyakkan doa, kerana doa adalah sumber kekuatan.  Bukankah doa pemimpin buat mereka yang dipimpin itu makbul? Semoga kita adalah pemimpin yang Nabi s.a.w maksudkan itu.

Akhir kata, semoga kita thabat dan istiqomah dalam perjuangan ini. Insya Allah kelab yang terbaik. Akhirat wawasan utama. Wassalam

~ditulis oleh~
Mohd Nur Fadzly Basar
President AKHI Club IIUM 2013 
Share this article :

Post a Comment