Pada 20-27 Januari 2013, seramai 18 orang pelajar Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) mewakili Quranic Youth Club (QYC) telah
menjalankan program khidmat masyarakat di Yogyakarta, Indonesia. Kami diiringi
oleh penasihat QYC, Dr Tajul Aris bin Ahmad Bustami sepanjang keberadaan kami
di bumi Yogyakarta. Kami telah ke sebuah pesantren di Gunung Kidul yang bernama
Madrasah Al-Hikmah. Madrasah Al-Hikmah menempatkan pelajar-pelajar dalam
lingkungan 12-17 tahun dan pembelajaran di madrasah ini adalah percuma. Guru
Besar madrasah, Ustaz Harun Ar-Rasyid sangat gembira menerima kedatangan kami
mahasiswa dari Malaysia. Keadaan di madrasah yang sangat serba kekurangan menyebakan
kami telah mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan semampu yang boleh
kepada pihak madrasah.
Pelbagai aktiviti yang telah kami adakan di madrasah bertujuan
untuk mengeratkan hubungan dengan pelajar serta guru-guru di Al-Hikmah.
Kegembiraan serta ukhuwah yang terjalin juga merupakan salah satu sumbangan
yang dapat kami berikan. Kami sebagai wakil dari QYC telah memberikan sumbangan
berupa keperluan asas kepada penduduk sekitar Madrasah Al-Hikmah seperti beras,
mee, kicap, gula dan sebagainya. Kepada pihak madrasah, kami bersetuju untuk
menyumbangkan tenaga untuk mengajar pelajar-pelajar madrasah subjek Bahasa
Inggeris kerana mereka kurang arif dalam subjek tersebut. Kami juga membeli
beberapa buah buku latihan serta kamus untuk disumbangkan kepada pihak sekolah.
Dengan adanya buku-buku serta kamus tambahan ini, proses pembelajaran akan
menjadi lebih mudah.
Selain itu, kami bersepakat untuk membeli sebuah rak buku yang
berkualiti untuk diletakkan di perpustakaan Madrasah Al-Hikmah. Rak ini
bertujuan menyusun buku-buku supaya memudahkan urusan mereka untuk membuat
sebarang rujukan. Tidak dilupakan juga, kami telah membuat mural pada dinding
bangunan sekolah sebagai tanda ingatan kami pada sekolah. Pihak sekolah
memberikan komitmen serta layanan yang baik pada mahasiswa Malaysia. Semoga
program khidmat masyarakat ini tidak terhenti di sini sahaja. Semoga lebih
ramai lagi yang akan menghulurkan bantuan pada mereka. Semoga
khidmat masyarakat ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara 2 buah negara.
Sebagai saudara seislam, sepatutnya kita membantu mereka untuk menuntut ilmu.
Ustaz Harun Ar-Rasyid berharap supaya kami, mahasiswa dari Malaysia dapat
memberikan biasiswa kepada pelajar Madrasah Al-Hikmah yang berpotensi untuk
melanjutkan pelajaran mereka. InsyaALLAH.
-artikel ini dikarang oleh QYC-
Post a Comment