Sepang, Selangor - Dari 7 hingga 9 Januari yang lalu, seramai 55 orang pelajar telah menjalani satu kursus anjuran Pusat Tanggungjawab Sosial Universiti UIAM (CENSERVE). Kursus yang diberi nama Bengkel Pengurusan Khidmat Masyarakat ini telah memperlihatkan kepada para pemimpin kelab bagaimana untuk mengurus kelabnya dengan lebih berkesan.
Menurut Penolong Pengarah CENSERVE, Encik Mohd Khairulzain Abd Rahman, rata-rata pelajar yang menyertai kursus ini merupakan barisan kepimpinan kelab yang baru. Ini adalah kerana, mulai tahun 2010, kelab-kelab di bawah UIAM mengakhiri penggal pemerintahan mereka pada bulan Disember.
"Jadi, pada bulan Januari, kami akan menyediakan kursus buat mereka. Kursus yang kami anjurkan pada kali ini lebih kepada modul perancangan yang lebih strategik. Kami menekankan kepada pelajar-pelajar kami agar dapat memahami 'Blance Scorecard' serta ilmu 'Gantt Chart'. dan alhamdulillah, kami berjaya menerapkan ilmu ini kepada ketiga belas kelab bawah kami. Yang menariknya, cuma kelab yang di bawah pemantauan kami sahaja yang menggunakan kedua-dua elemen ini di dalam sistem pengurusan kelab mereka," terang En Khairulzain dengan panjang lebar.
Setiap wakil-wakil kelab ini akan terus bersama dengan kelab mereka sejurus mereka pulang daripada kursus tersebut. Bukan itu sahaja, sepulangan mereka ini pasti akan berjaya membawa kelab mereka ke arah yang lebih tinggi. Hasrat ini turut dikongsi oleh Ketua CENSERVE iaitu Puan Martinelli Hashim selaku ketua jurulatih bengkel tersebut.
"Setiap tahun kami akan sentiasa melihat dan memantau perkembangan kelab-kelan di bawah tanggungjawab kami. Bagi membawa kelab-kelab ini seiring dengan kehendak universiti, saya terpanggil untuk memperkenalkan mereka dengan sistem yang diguna pakai oleh universiti buat masa ini. Saya sangat bangga, kerana mempelajarinya bukan mudah, tetapi pelajar-pelajar ini menunjukkan hasil yang cukup berbeza. mereka memahaminya dengan cepat daripada apa yang sangka," luah Puan Martinelli yang turut terkenal dengan panggilan ibu di kalangan para pelajarnya.
CENSERVE banyak memberi peluang kepada para pelajarnya berusaha sendiri dan menentukan haluan kelab masing-masing. Namun begitu, bagi menggalakkan perkembangan kelab, CENSERVE bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat serta memberi latihan yang cukup kepada barisan-barisan AJK utama setiap kelab di bawah naungannya. Maka, adalah di harap bengkel yang berjaya dijalankan baru-baru ini berjaya memberikan impak yang cukup baik kepada para pelajar UIAM seterusnya menjadi sebahagian daripada Khairul Ummah.
Post a Comment